Wednesday, December 19, 2012

MANGSA DILAUTAN..


Assalamualaikum........

Keluarga kami adalah keluarga biasa....hidup secara sederhana dipinggiran pekan yang sederhana... Labuan...

Ibu berasal dari tanah besar, dijodohkan dengan bapa kerana ada pertalian kekeluargaan... cinta orang dulu-dulu, cinta dirancang orang tua,  cinta selepas berkahwin!
Bagi saya, anak kedua dalam adik-beradik, ibu sangat tegas, mungkin kerana dia seorang yang akan mengatur segala tentang rumahtangganya setelah bapa pergi kerja untuk beberapa lama. segalanya menjadi pundak tanggung jawabnya.
Anak-anak tak boleh bagi muka sangat nanti tak mendengar cakap...dengan ketiadaan bapa, ibulah yang akan mengemudi rumah kami yang sering di "porak-perandakan" oleh anak-anaknya...jadi tak hairanlah ada ketikanya tekanan melanda ibu....Anak-anak yang macam tak "reti bahasa" kadang menggugat kesabaran ibu!. dalam seramai lima orang anaknya ketika itu, ibu tak tahu ada seorang anak ini , walau berumur tujuh tahun  takkan macam adik beradik  lain yang tidak mendengar kalau sekali ditegur... apabila yang lain mula menyepahkan rumah, saya perlahan mengemasnya kembali..

Tapi manalah saya seorang mampu menyaingi sepahan yang adik beradik lain  lakukan diketuai oleh Kakak sulung, yang jarak umur kami hanya setahun... bila dah isi rumah macam diserang garuda, sudah pasti ibu mengamuk setelah dia penat menyelesaikan kerja-kerja didapur..bila dah melihat ruang tamunya macam tongkang pecah apa lagi, dengan rasa geram cubitan pedas dan pedih hinggap ke paha semua anak-anaknya termasuk saya!
Kadang dalam fikiran kanak-kanak saya,  pada ketika itu merasa ibu tak sayangkan saya, perlahan saya menyisihkan diri sedikit dari ibu.. Kenapa ibu tak seperti bapa? kenapa ibu tak pernah menyatakan rasa sayangnya?

Ibu tak pandai menzahirkan perasaannya....namun saya tahu ibu sayangkan saya apabila dia sering mengatakan "seorang ibu, macam mna pun rupanya, macam ikan, macam kucing atau macam harimau, tetap sayangkan anak-anaknya".
Lain sangat cara ibu memberitahu perasaannya...kenapa semua rupa dikaitkan dengan binatang?
kenapa tidak rupa orang yang cantik-cantik, sedap mata membayangkan...
perlahan....akhirnya saya tahu ertinya, macamana pun rupa seorang ibu,  cantik kah, buruk kah, dia tetap ibu kita, yang susah payah melahirkan dan membesarkan kita....
dan....anak-anaknya tetap anak-anaknya, yang tetap akan disayanginya seumur hidupnya...

                       Berbeza dengan bapa, bapa sangat penyayang, suka bercerita,  suka melayan kerenah saya dan suka memenuhi permintaan saya, samaada minta bawa berjalan-jalan atau membelikan apa yang saya mahukan, akan dicubanya sedaya upaya, kalau tak dapat pada ketika itu akan ditunaikannya pada hari yang lain.
Saya percaya pada janji bapa!  Nasib baik saya bukan penggila mainan pada ketika itu.. saya hanya minta bapa belikan buku-buku cerita!
Kalau buku-buku cerita lambat sampai ditangan, bapa aka mendahului dengan cerita-cerita pelayarannya. Saya sangat suka mendengar mengenai tempat-tempat yang pernah disinggahi...
maka bermulalah lagi angan-angan kanak-kanak ini sehingga terbawa-bawa kedalam mimpi..

Kalau bapa berpergian jauh saya jadi sunyi, tiada teman yang memahami, adik beradik pun rasanya macam nak cari gaduh saja....saya rasa sedeh apabila bapa cakap dia nak belayar, perlahan.. tanpa disedarinya airmata saya menitis,  rasa sangat sayu (manjanyaaa..)...

Rumah kami bertambah sunyi, kerana kalau ada bapa rumah ini menjadi tempat mengaji bagi budak2 yang belajar mukadam dan Quraan, dan ada yang belajar sembahyang....saya kadang-kadang menjadi pembantu bapa menolong mereka mengenal bentuk alif ba ta....

Bapa sebenarnya bekerja sebagai juragan (kapten) kapal laut...kalau dah kerja, saya takkan berjumpa dengannya, berminggu atau berbulan lamanya...tugasnya membuatkan bapa dapat  mengunjungi beberapa negara, yang mustahil dapat dikunjungi kalau mengharapkan perbelanjaan sendiri...

Walaupun hanya sebagai pekerja kapal namun dapat juga menjejakkan kaki kenegara yang menjadi angan-angan rakan sekampungnya yang meneruskan kerja-kerja seperti nelayan atau jadi petani. Mereka masih tidak berani untuk melangkah keluar dari kampung yang sudah sebati dijiwa mereka...atau mungkin itu kesukaan mereka.

Berbeza dengan bapa seawal umur dua puluhan sudah berani memecah 'tradsisi' kerja, mencuba sesuatu dari luar kebiasaan anak-anak muda dikampung pada ketika itu. Melangkah keluar dari kampung dan mencuba sesuatu yang baru.

Ianya bermula dengan bekerja sebagai kelasi kapal-kapal dagang atau kapal kargo yang membawa muatan barangan...
Dari kapal kecil kepada kapal besar. Dari kelasi biasa naik kepada Juragan (kapten) kapal. Saya pernah diberi kesempatan untuk memegang stereng kapal besar yang bapa kemudi. Dengan bangganya saya berdiri diatas kerusi (badan pendek umur baru 9 tahun) memusing-musing stereng ditangan, kekiri dan kekanan...

"jangan terlampau kekiri nanti terlanggar kapal lain" kata bapa.
saya masih dengan bangga hanya mengganguk kepada arahan kapten kapal itu...walhal kapal yang saya kemudi itu terikat dipelabuhan!


Sebelum keluar rumah untuk bekerja, bapa akan mendongak kelangit, melihat awan, meramal cuaca dengan caranya.
Pada ketika itu belum ada ramalan cuaca yang disiar dan mudah didapati  seperti sekarang, kita boleh lihat siaran diTV,  dengar radio lebih canggih di handphone kita boleh tengok ramalan umtuk seminggu akan datang!

 Bapa kelihatan sedikit risau kalau cuaca buruk, risau pada kapal laut yang dikendalinya, risau pada ...keselamatn anak-anak kapal dibawahnya ....kerana segalanya dibawah tanggung jawabnya...bila dah dilautan, apa pun yang berlaku keputusan adalah ditangannya....

(puluhan tahun kemudian.....saya juga akan mendongak kelangit sebelum keluar bekerja.... ada sedikit kerisauan andai tanda-tanda hujan ribut akan turun.....keputusan dan tindakan segera juga berada ditangan saya...
Disini, hari ini dapat saya fahami perasaan bapa.....)

Ada rasa kesihan terhadap bapa....tak kira hujan, tak kira panas, apa bila jadual telah tiba maka belayarlah bapa, meninggalkan kami lima beradik ketika itu, bersama ibu.
Bapa berpergian lama dan sangat laamaaa rasanya....

Ada cerita, apabila suatu hari bapa dalam pelayaran, cuaca yang pada mulanya baik, tetapi ditengah lautan cuaca buruk tiba-tiba datang....dengan jarak pengelihatan yang kurang 100 meter....dengan ketidak cukupan alat-alat canggih pada waktu itu, tidak seperti sekarang ini ada radar yang boleh mengesan sebarang pergerakan.... ....apakah yang dapat dilihat pada jarak itu, dan pada waktu malam pula tu..
=>
=>
=>
Ini terjadi sebelum bapa membawa kapal besar, kapal yang dikemudikan ini sederhana saja,  dalam pelayaran menghantar muatan untuk ke Miri dari pelabuhan Labuan. Tiba-tiba diperairan berhampiran Brunei, kapal ini menghadapi ribut dengan hujan dan angin yang kuat...ombak pula agak besar, tidak ingat difikiran kanak-kanak ini berapa ketinggian ombak itu...
Jarak penglihatan pula sangat terbatas dalam jarak 100 meter.... mata biasa takkan nampak apa-apa yang muncul didepan mata....
Amat sukar mengendali kapal yang terumbang ambing dilanda ombak besar sambil cuba meneropong, memerhati persekitaran..dalam pekat malam...
.
Tiba-tiba...
Satu hentaman kuat datang dari tepi sebelah kanan, betul-betul ditengah kapal yang bapa kemudi.....

"ALLAHUAKBAR...."
Bapa menjerit, apabila terlihat sebuah kapal lain melanggar kapal bapa, betul-betul ditengah kapal...dan kapal itu agak besar dari kapal bapa.....
Bayangkan apa yang terjadi.......

Kapal bapa terbelah dua !!

Dalam hujan ribut malam dalam keadaan gelap!
Bapa menjerit kepada kelasi-kelasinya agar menyelamatkan diri.... bapa cuba dan cuba juga untuk menyelamatkan kapalnya tetapi air laut sudah terasa hingga kelututnya, akhirnya keparas pinggang.....sekejap lagi kapal itu pasti tenggelam!
Dia hanya terdengar jeritan kelasinya,
“kapt, selamatkan diri, cepat. Kapal dah nak tenggelam.....”

Apabila segala usaha sudah cuba dibuat, ternyata kapal itu dan isi muatannya tak dapat diselamatkan lagi. Anak-anak kapal pun sudah meninggalkan kapal, atas arahan bapa. Barulah bapa meninggalkan dan dengan sayu melihat kapalnya tenggelam perlahan-lahan..... dari anjung kapal yang melanggarnya tadi....
Mereka yang melanggar tanpa sengaja itulah menyelamatkan mereka!!

Kali ini bapa benar-benar lama tidak balik, macam berbulan juga rasanya....

Peristiwa ini menjadi kes dimahkamah negara jiran kita itu, kerana kapal yang melanggar itu adalah kapal dari negara jiran dan diperairan mereka!
Dia tak dapat balik selagi kes ini tidak selesai.......
Ianya melibatkan dua negara yang bagaikan bersaudara .....bersaudara, saudara juga...muatan yang dibawa perlu diganti.....bapa bukan saja disoal siasat oleh mereka disana.....tetapi juga dari orang-orang dari ibu pejabat syarikat kapal bapa......

Dan ianya tak semudah itu, beberapa perkara perlu diselidik, dikaji dan diteliti secara manual (penggunaan komputer dan alat-alat canggih masih jauh didepan)
Detik-detik perlanggaran dirakamkan dalam lakaran dikertas, semua ini mahu dijadikan bukti dimahkamah jiran itu, siapakah yang bersalah !!



Nun...... di pantaran (serambi) rumah, seorang kanak-kanak dengan linangan airmata berdoa kepada TUHAN, agar bapa diselamatkan walau dimana pun dia berada dan memohon segerakanlah bapa kembali kerumah..... kali ini saya tidak mengharapkan buah tangan dari bapa, dan berjanji tidak akan meminta bapa membeli apa-apa untuk dibawa balik.. apa yang penting, saya ingin berjumpa bapa...telah lama dia pergi kerja, dan telah lama tidak mendengar suaranya!
Ketika itu bukan mudah untuk menghubunginya.....tidak ada telefon awam apatah lagi telefon rumah.....mungkin hanya beberapa ofis saja yang ada kemudahan itu, dan tak semudah itu untuk meminjamnya, kalau dapat pun, nombor apakah mahu didail untuk menghubungi bapa?

Kami hanya menunggu perkhabaran bapa dari syarikatnya dan menunggu kiriman telegram dari bapa.....
Sayu memandang kelaut yang biru terhampar, yang memisahkan kami dengan bapa...kasihan melihat ibu yang juga merindui dan risau keadaan bapa, ditinggalkan dengan anak-anak yang tak tahu berduka, entah cukupkah duit ibu pada ketika itu.....tak dapat saya ingati....

Kakak dan adik beradik yang lain bermain macam biasa, seolah tiada apa yang berlaku....tetapi saya? Pada umur itu saya masih terfikir kenapalah kakak dan adik beradik yang lain sentiasa gembira, boleh gelak ketawa dan bergembira...kalau pun bersedeh hanya sekejap saja, dan selepas tu bermain lagi..
 Mereka hanya kanak-kanak biasa yang dalam fikiran mereka hanya tahu bermain. Lapar dan haus akan merengek kepada ibu dan lepas tu sambung lagi bermain-main...

Sikap saya lah yang ganjil sebenarnya...saya terlalu emosi, terlalu mudah tersentuh hati....dan berfikiran seperti orang dewasa sebelum sampai waktunya!!

Lama setelah itu.................bapa pun balik akhirnya.....
Rasanya dia menang dalam kes itu....dia membawa lakaran kertas kapal yang dilukisnya, lukisan kapal terbelah dua disimpan dan ditunjukkan kpd kami.......hanya saya yang berminat bertanya, bagaimana, kenapa terjadi.....seperti biasa adik beradik yang lain sambung bermain......
Saya memerhati lukisan itu dan terbayang ribut yang melanda..... dan ingatan ini menjengah kembali fikiran saya setelah puluhan tahun, apabila baru-baru ini dipawagam ditayangkan movie “The life of PI”
Dahsyatnya lautan....memisahkan Pi dengan kedua ibubapa dan abangnya..
Menjadikannya sebatang kara....dilautan, berjuang berseorangan untuk hidup!!

Saya, sangat-sangat bersyukur kehadrat Ilahi kerana menyelamatkan bapa sehingga kehari ini, SYUKUR ALHAMDULILLAH !!

No comments:

Post a Comment