Friday, December 28, 2012

BISKUT MAKMUR DAN MERCUN



(Mengimbau zaman kanak-kanak)

        Dibulan Ramadhan, tinggal seminggu nak raya, orang kampung telah mula membuat persediaan untuk menyambutnya.
 Para bapa membaik pulih keadaan rumah. Atap yang bocor diganti, lantai yg reput dicabut, dipaku dgn yg baru. Ibu-ibu sibuk menjahit langsir dan ada yang membuat kuih muih..
Masih terhidu hingga kini biskut makmur yang ibu masak, biskut kesukaan ku.
(disesetangah tempat biskut ni dipanggil biskut mor)

Resepi yang mudah, hanya mencampurkan tepung gandum dengam butter atau majerin yg dicairkan diapi, lalu campuran tepung ini diuli hingga sebati. Untuk menambah aroma, ibu akan menitiskan esen vanila atau pun esen mawar. Selepas itu adunan itu diambil sedikit  di uli menjadi sebesar guli putih, ada yg membubuh kacang tanah utk inti, tapi saya, bapa dan kakak lebih suka ianya tanpa inti.

 Selepas itu adunan ini dibakar dgn menggunakan api arang dengan meletakkan arang diatas dan dibawah. Bila dah masak di taburkan gula yg dkisar halus. 
Hari itu ibu baru mahu memulakan operasi membuat kueh raya dengan biskut makmur. Tak sabar menanti masak. Tepung yang baru diuli pun sudah membangkit selera. Tanpa pengetahuan ibu secubit dua masuk kedalam mulut! 

              Seperti kebiasaan, kanak-kanak dimana jua akan bermain mercun, samaada yang dibuat dari buluh atau mercun yand diimport dari negara China. Pada masa itu larangan bermain mercun tidaklah seketat pada hari ini. Kanak-kanak dikampung saya tak ramai yang suka bermain mercun buluh, kerana begitu mudah memperolehi berbagai bentuk mercun yang lebih senang dibakar dan mengeluarkan pelbagai warna diiring bunyi yang mengalahkan mesen gun.
                Setiap rumah yang ada kanak-kanak atau kanak-kanak yg hampir tua ada mercun dan bunga api, bunyi berdentum-dentum balas-membalas macam dalam suasana perang!

             Mereka bakar, baling dan tup! tup! Saya yang hanya menjadi pemerhati dari beranda rumah turut terhibur. Terasa juga nak ada mercun, tapi Kata ibu saya org perempuan tidak boleh bermain mercun. Apa yang  saya tengok kawan saya Zaiton dan kakaknya turut bermain bersama Abang-abang mereka..
 Dalam hati teringin sangat nak pegang mercun, bakar dan baling. Lalu saya menyuarakan hasrat hati dan merengek-rengek pada ibu yang sedang sibuk membakar biskut makmur. Tentu sekali ibu tidak akan melayani permintaan yang bahaya itu.

        Sedeh bukan kepalang, saya menyuarakan hasrat pada Pak Uda Yahya, adik bapa yg kebetulan hendak kepekan.Saya beria-ia minta pak uda belikan mercun seperti yang mereka ada.
 Dia berjanji akn membelikan bunga api atau apa-apalah yang sejenis dengannya.

         Kembang rasa hati, senyuman melebar tidak terperi. Kamu tunggu wahai kawan-kawan, kejap lagi saya akan punyai mercun dan bunga api dan tak perlulah lagi mengintai-ngintai kamu.. Saya akan menyerang balik setiap balingan mercun kamu....begitulah angan-angan saya

         Saya hanya duduk ditepi tingkap menunggu Pak Uda, dan  tidak berganjak memerhati kehujung jambatan..  Benarlah, penantian itu satu penyiksaan...satu jam, dua jam, Pak Uda tak muncul-muncul, ishh.. tak sabar rasanya.

           Akhirnya Pak uda sampai ketika saya hampir terlena. Tercari-cari mana bunga api dan mercun bagai yang dijanji??


           Tidak ada ! Hati ini sungguh hampa. Berkecai angan-angan yang dibina.
Pak Uda tak bercakap apa-apa lagi, hanya membisu seribu bahasa, kenapakah Pak Uda mempermainkan janji dgn seorang kanak-kanak.

            Ibu cuba memujuk dgn memberikan sepiring kecil biskut makmur yang baru masak. Tapi hati ini sedeh sangat...air mata sudah mulai menìtis, satu demi satu jatuh, dan akhirnya pecahlah tangisan, saya meraung dan menangis bergulik-gulik lalu tertendang biskut makmur didalam piring, maka bertaburanlah diatas lantai, tak sengaja tertendang dan saya semakin menangis kerana biskut kegemaran hancur berderai seremuk hati saya. 
           Tangisan yang semakin menjadi-jadi ini menghilangkan kesabaran ibu, lalu cubitan yang amat pedas hinggap dipeha.. Menambah kesakitan yang sudah sedia ada. Akhirnya petang
itu saya tertidur keletihan.....

            Esuknya ibu membawa saya kepekan untuk menemaninya membeli barangan dapur, dan tidak disangka-sangka ibu membelikan mercun untuk saya.
 Dalam hati berkata, biar betul ibu ni? Ah! Tak kisahlah walau apa jua, yang penting mercun dah ada didalam tangan.

             Hati saya berbunga-bunga seolah-olah ada taman didalamnya. 

Sampai sahaja dirumah saya pun terus bermain.  Tup tap, tup tap mercun dibaling.... terasa amat bangga kerana saya juga ada mercun! 

           Walau sebenarnya hanya mercun bawang, sejenis mercun yang tak perlu dibakar. Baling dan tup! Nyaring bunyinya bagi seorang kanak-kanak berusia 5tahun ketika itu.

            Pak Uda, hanya mercun itu yang saya nak! 

No comments:

Post a Comment