Saturday, January 26, 2013

SOTONG 20 SEN



(Mengimbau zaman kanak-kanak)

Tinggal dipinggiran laut, dilahir, membesar dan bermain diiring suara ombak....terjun ke laut, berenang, bersampan, mengail (memancing), membintur ketam iaitu seupama perangkap untuk ketam yang diletak umpan dan diturunkan kelaut. sampai masa ketam makan umpan tu kita cepat-cepatlah tarik ke permukaan..

Semua ini adalah sebahagian cara bermain untuk kanak-kanak kampung dipinggiran laut, dan semua aktiviti diatas hanya boleh dibuat disekitar yang boleh nampak dan dipantau oleh ibu, ianya hanya boleh dilakukan dipinggir laut kira-kira sepelaung jauhnya (maksudnya jauh jarak yang boleh dijerit untuk suruh balik). ibu cukup risau akan keselamatan kami.....

 Kanak-kanak yang sudah biasa hidup dekat laut, kanak-kanak yang sudah boleh berenang, menyelam walau tanpa alat pernafasan (bukanlah masuk jauh kedasar pun...) tiada rasa ketakutan pun pada laut..umpama kanak-kanak lain yang bermain dipadang bola...apa nak takut dengan padang kan???

Tambahan pinggiran laut itu, adalah teluk dimana terletaknya pelabuhan yang sibuk dengan urusan perkapalan, punggah memunggah barang-barang, juga orang ramai yang menggunakan kapal/bot sebagai kenderaan ke tanah besar Sabah atau ke negara Brunei...

Kawasan laut dekat pelabuhan itu memang sibuk dengan aktiviti perkapalan sama sibuknya dengan aktiviti kami yang nun di seberang, sibuk bermain!

Tanpa melakukan apa-apa pun, saya boleh leka memerhati kelaut, melihat kapal-kapal besar dan mula berangan-angan, kalaulah....kalaulah.....saya boleh bawa kapal besar tu....akan saya belayar jauh-jauh ke negara orang putih...
Bapa saya yang berkerja kapal, kadang-kadang membawa saya ke kapalnya, dan saya
pernah diberi peluang oleh bapa memegang stereng kapal, tapi rasa tak puas kerana pada masa tu kapal tersebut terikat dipelabuhan!

Bayangkan.....lautan, bot-bot, kapal kecil dan kapa-kapal besar adalah sebahagian dari persekitaran zaman kanak-kanak saya...tiada ruang ketakutan pada laut, pada ombak, pada bot dan kapal-kapal itu... tidak ada rasa takut pun, tidak ada langsung memikirkan tentang keselamatan diri.
 Kanak-kanak, tidak akan memikirkan semua tu......

Pada suatu hari, saya mencuba pula untuk mencandat sotong, menggunakan umpan tiruan ringan berbentuk ikan, saya panggil "ikan tipu" yang diikat dihujung tangsi...dan diheret di air menggunakan sampan yang dikayuh....
Dah lama sangat teringin nak buat ni..
Tengah hari tu, mengambil kesempatan ketika ibu sedang berehat dan tertidur...saya keluar perlahan-lahan dengan membawa semua kelengkapan yang tak seberapa itu, menaiki sampan, mengheret umpan memerangkap sotong...berkayuh berseorangan menuju lautan....

>
>
>
>

Air laut tenang ketika itu, saya berkayuh berseorangan, mengumpan sotong di air, mengharapkan agar dapat banyak sotong, yang boleh dibuat lauk untuk dimakan sekeluarga dan yang lain boleh dijual dengan harga 20sen seekor...semoga ini akan menjadi kebanggaan ibu bapa ku...ini bukan bermain dan bukan perkara main-main...fikiran berniaga sudah ada dalam kepala...

Saya berkayuh jauh, semakin jauh ke lautan...tidak ada rasa takut...tambahan apabila ada kapal-kapal  berlabuh (apabila difikirkan kembali pada hari ini, sebenarnya ini lebih menakutkan! nasib baik orang kapal negara asing ni tak culik saya masuk kedalam kapalnya dan dibawa belayar jauh kenegara mereka, negara Filipina atau Indonesia, atau...yeeee....barulah terasa gerun memikirkannya setelah puluhan tahun kemudian)



(Laut tenang - kelihatan beberapa kapal terikat dipelabuahan....captured, selepas puluhan tahun kemudian..)


Asyik berkayuh, terasa umpan telah diragut, saya sudah dapat seekor sotong!
Ini adalah petanda baik untuk permulaan yang baik...kayuhan semakin jauh, tak rasa penat, tak rasa takut..
Namun selepas setengah jam mendapat sotong yang pertama, sotong-sotong lain tak tertipu dengan umpan tiruan yang diheret di air...

Satu jam lagi berkayuh, sotong tak menyangkut lagi di umpan, hari pun dah lewat petang, penat kayuhan sudah terasa...dan tekak pun dah kehausan, lalu saya ambil keputusan untuk berkayuh balik kerumah....

Hampir dua jam saya berkayuh, balik...hanya membawa seekor sotong! jangankan nak jual dengan harga 20sen seekor, nak makan saya seorang pun tak cukup....sotong itu kecil sahaja, anak sotong yang tertipu dengan umpan tipu saya!

Saya sampai dengan selamatnya ke rumah, (puluhan tahun kemudian...syukur saya selamat!...gerun memikirkan keselamatan kanak-kanak pada masa ini)...

Sesampai dirumah, ibu tunggu dengan kemarahan yang berapi...
Bayangkan, ibu mana yang tak risau...pergi kelaut berseorangan menggunakan sampan kecil, risaukan cuaca, ombak, angin ribut...kalau ombak besar datang sudah pasti sampan kecil tu terbalik dan saya hanya seorang kanak-kanak tidak memikirkan " laut tenang jangan disangka tidak akan datang ombak".
Kalau ombak besar datang ketika itu, perahu terbalik sampai kemana saya boleh berenang??
Kalau pun diselamatkan oleh kapal negara asing itu, selamatkah saya???

Hati ibu manakah yang tak risau?? Saya berseorangan berkayuh menuju lautan...tanpa peralatan keselamatan, tanpa alat perhubungan, tanpa sebotol air pun!
Nasib cuaca pada ketika itu sangat baik, lautan tenang...dan saya diselamatkan oleh ALLAH yang Maha Besar...bayangkan kalau berlaku apa-apa saya tentu tak tahu nak buat apa, kerana pada masa itu saya hanya berumur sebelas tahun!!

Ibu manakah yang tak marah berapi-api??
 Saya cuba juga jelaskan, bahawa saya nak jual sotong-sotong dengan harga 20en seekor...kemarahan ibu bertambah kerana dia tahu, kami anak-anaknya bukan tak cukup makan, tidak mewah, tetapi tak pernah tak makan pada waktu-waktu makan!

Tetapi saya terlalu menuruti keinginan hati...melakukan sesuatu yang mengancam keselamatan diri...mencuba untuk membuat ibu bangga, tetapi dengan cara, melakukan sesuatu yang sangat-sangat digeruni...
Kanak-kanak, dizaman mana pun dia berada akan membuat perkara tanpa mengetahui ianya akan mendatangkan bahaya!

Sotong 20sen, berkecai impian menjadi peniaga kecil...
Apa yang didapat ialah cubitan tangan ibu dipaha saya sebesar 20sen!!



(Gambar-gambar dipersekitaran ' kejadian'.. captured puluhan tahun kemudian)