Friday, December 28, 2012

BISKUT MAKMUR DAN MERCUN



(Mengimbau zaman kanak-kanak)

        Dibulan Ramadhan, tinggal seminggu nak raya, orang kampung telah mula membuat persediaan untuk menyambutnya.
 Para bapa membaik pulih keadaan rumah. Atap yang bocor diganti, lantai yg reput dicabut, dipaku dgn yg baru. Ibu-ibu sibuk menjahit langsir dan ada yang membuat kuih muih..
Masih terhidu hingga kini biskut makmur yang ibu masak, biskut kesukaan ku.
(disesetangah tempat biskut ni dipanggil biskut mor)

Resepi yang mudah, hanya mencampurkan tepung gandum dengam butter atau majerin yg dicairkan diapi, lalu campuran tepung ini diuli hingga sebati. Untuk menambah aroma, ibu akan menitiskan esen vanila atau pun esen mawar. Selepas itu adunan itu diambil sedikit  di uli menjadi sebesar guli putih, ada yg membubuh kacang tanah utk inti, tapi saya, bapa dan kakak lebih suka ianya tanpa inti.

 Selepas itu adunan ini dibakar dgn menggunakan api arang dengan meletakkan arang diatas dan dibawah. Bila dah masak di taburkan gula yg dkisar halus. 
Hari itu ibu baru mahu memulakan operasi membuat kueh raya dengan biskut makmur. Tak sabar menanti masak. Tepung yang baru diuli pun sudah membangkit selera. Tanpa pengetahuan ibu secubit dua masuk kedalam mulut! 

              Seperti kebiasaan, kanak-kanak dimana jua akan bermain mercun, samaada yang dibuat dari buluh atau mercun yand diimport dari negara China. Pada masa itu larangan bermain mercun tidaklah seketat pada hari ini. Kanak-kanak dikampung saya tak ramai yang suka bermain mercun buluh, kerana begitu mudah memperolehi berbagai bentuk mercun yang lebih senang dibakar dan mengeluarkan pelbagai warna diiring bunyi yang mengalahkan mesen gun.
                Setiap rumah yang ada kanak-kanak atau kanak-kanak yg hampir tua ada mercun dan bunga api, bunyi berdentum-dentum balas-membalas macam dalam suasana perang!

             Mereka bakar, baling dan tup! tup! Saya yang hanya menjadi pemerhati dari beranda rumah turut terhibur. Terasa juga nak ada mercun, tapi Kata ibu saya org perempuan tidak boleh bermain mercun. Apa yang  saya tengok kawan saya Zaiton dan kakaknya turut bermain bersama Abang-abang mereka..
 Dalam hati teringin sangat nak pegang mercun, bakar dan baling. Lalu saya menyuarakan hasrat hati dan merengek-rengek pada ibu yang sedang sibuk membakar biskut makmur. Tentu sekali ibu tidak akan melayani permintaan yang bahaya itu.

        Sedeh bukan kepalang, saya menyuarakan hasrat pada Pak Uda Yahya, adik bapa yg kebetulan hendak kepekan.Saya beria-ia minta pak uda belikan mercun seperti yang mereka ada.
 Dia berjanji akn membelikan bunga api atau apa-apalah yang sejenis dengannya.

         Kembang rasa hati, senyuman melebar tidak terperi. Kamu tunggu wahai kawan-kawan, kejap lagi saya akan punyai mercun dan bunga api dan tak perlulah lagi mengintai-ngintai kamu.. Saya akan menyerang balik setiap balingan mercun kamu....begitulah angan-angan saya

         Saya hanya duduk ditepi tingkap menunggu Pak Uda, dan  tidak berganjak memerhati kehujung jambatan..  Benarlah, penantian itu satu penyiksaan...satu jam, dua jam, Pak Uda tak muncul-muncul, ishh.. tak sabar rasanya.

           Akhirnya Pak uda sampai ketika saya hampir terlena. Tercari-cari mana bunga api dan mercun bagai yang dijanji??


           Tidak ada ! Hati ini sungguh hampa. Berkecai angan-angan yang dibina.
Pak Uda tak bercakap apa-apa lagi, hanya membisu seribu bahasa, kenapakah Pak Uda mempermainkan janji dgn seorang kanak-kanak.

            Ibu cuba memujuk dgn memberikan sepiring kecil biskut makmur yang baru masak. Tapi hati ini sedeh sangat...air mata sudah mulai menìtis, satu demi satu jatuh, dan akhirnya pecahlah tangisan, saya meraung dan menangis bergulik-gulik lalu tertendang biskut makmur didalam piring, maka bertaburanlah diatas lantai, tak sengaja tertendang dan saya semakin menangis kerana biskut kegemaran hancur berderai seremuk hati saya. 
           Tangisan yang semakin menjadi-jadi ini menghilangkan kesabaran ibu, lalu cubitan yang amat pedas hinggap dipeha.. Menambah kesakitan yang sudah sedia ada. Akhirnya petang
itu saya tertidur keletihan.....

            Esuknya ibu membawa saya kepekan untuk menemaninya membeli barangan dapur, dan tidak disangka-sangka ibu membelikan mercun untuk saya.
 Dalam hati berkata, biar betul ibu ni? Ah! Tak kisahlah walau apa jua, yang penting mercun dah ada didalam tangan.

             Hati saya berbunga-bunga seolah-olah ada taman didalamnya. 

Sampai sahaja dirumah saya pun terus bermain.  Tup tap, tup tap mercun dibaling.... terasa amat bangga kerana saya juga ada mercun! 

           Walau sebenarnya hanya mercun bawang, sejenis mercun yang tak perlu dibakar. Baling dan tup! Nyaring bunyinya bagi seorang kanak-kanak berusia 5tahun ketika itu.

            Pak Uda, hanya mercun itu yang saya nak! 

COKLAT DIATAS ATAP



(Mengimbau zaman kanak-kanak)



  Sejak kecil ibu sering memberitahu, berdoalah kepada ALLAH minta segera sembuh tatkala sakit, berdoalah diberi kesenangan ketika dalam kesusahan, berdoalah di murahkan rezeki. Berdoalah minta tenangkan hati tika dalam gundah gulana.


    Berdoalah andai seseorang yang kita sayangi yang jauh dari kita, sentiasa dilindungi ALLAH, inilah doa  yg sering ku pohon ketika sangat2 merindui bapa ketika dia berpergian untuk bekerja. Tugasnya sebagai juragan atau kapten kapal laut membuatnya pergi kadang berbulan lamanya..dan diusia 8 tahun saya duduk di pantaran (serambi) rumah menghadap kelaut dan sambil mendoakan agar bapa segera balik.. Ada kalanya air mata nenitis kerana terlalu rindukan bapa.



Tapi kesedehan dan kesunyian kanak-kanak ini kadang terubat bila pak tua atau pak uda bersama sepupu-sepupu saya datang mengunjungi. Bergurau bermain..sehingga lupa nantinya akan kesunyian lagi..


 Bila bersedeh ibu akan memujuk dengan potongan kecil coklat yang disimpan dan hanya akan diberikan pada waktu-waktu yang ibu sudah tak boleh pujuk kami adik beradik. Ternyata berkesan..


kami akan mengunyah coklat tersebut sedikit-sedikit dan merasai kesedapannya sepenuh hati. Dasar kanak-kanak, coklat yang sedap dan sedikit itu tak dapat memenuhi kemahuan yang nak lagi, ibu pula hanya memberi kami berdikit-dikit yg di potong-potong menjadi 5 ketulan kecil untuk dibagi kepada 5 orang anak-anaknya pada ketika itu.
    Kenikmatan coklat itu sering menjadi igauan membuatkan saya cuba mencari di rak-rak dapur, manalah tahu ibu ada menyisipkannya dimana-mana.

Puas mencari, namun seketul coklat pun tidak ditemui...
Kanak-kanak degil ini, mendesak dan mendesak ibu utk memberi coklat sehingga ibu menjadi sesak dgn permintaan yang tak pernah jemu ini...dgn kesibukkan ibu mengurus segalanya, kesabaran ibu terbatas dan akhirnya sebuah cubitan pedas hinggap di paha. 
Alangkah sayu rasa hati, coklat diminta, sakit pula yg dapat!

Dalam kesakitan dan linangan airmata, kanak-kanak berusia 8 tahun ini, memohon doa kepada Tuhan
" Ya ALLAH, turunkn lah coklat yg banyak, agar saya boleh menikmatinya sepuas hati, dan andai kau makbulkan doa ini..tolong jangan turunkan didepan adik beradik yang lain..jatuhkannya diatas atap"

Note : atap ni, atap pantaran (serambi) rumah, dan kalau saya panjat dinding pantaran tu memang mudah mencapai sesuatu diatasnya ( yg org lain tak tahu)

Itulah doa saya dgn linagan air mata...bersungguh-sungguh..

Dan...doa saya dimakbulkan ALLAH

=>
=>
=>



Kehidupan pada ketika itu memang kategori sedehana sahaja, daripada memenuhi keinginan kanak-kanak untuk memakan coklat, lebih baik membeli barang keperluan lain yang lebih penting. 
Jadi, sia-sia sahaja merengek kepada ibu untuk memintanya berulang kali pada benda yang memang tiada, nanti tak faedah-faedah kena cubitan lagi.
Keinginan untuk makan coklat sangat meluap-luap. Semakin kuat keinginan itu semakin kerap doa saya kepada TUHAN

"Ya ALLAH, turunkanlah coklat yang banyak agar dapat saya makan sepuas hati, dan andai KAU makbulkan permintaan ini, jangan turunkannya didepan adik beradik yang lain... jatuhkannya diatas atap"

Doa ini diulang-ulang oleh seorang kanak-kanak berusia 8 tahun, tanpa memikirkan tidak semudah itu TUHAN memberi rezeki dan kesenangan tanpa berusaha!
Berhari-hari tanpa rasa putus asa doa itu diteruskan, kerana ibu berpesan andai kita sudah berusaha dalam sesuatu hal yang baik sertainya dengan doa berpanjangan..

Ya saya sudah berusaha mencari di rak rak dapur, berusaha meminta dari ibu.. merengek dan menangis..namun tidak berhasil..jadi yang tinggal hanya lah doa dan doa.yang bersungguh-sungguh..hingga pada suatu pagi yang dingin bapa yang baru balik dari pelayaran yang jauh dan terlalu lama pergi, tiba-tiba mengejutkan saya dari tidur...

"Dah (ringkasan nama saya lah) bangun, bangun..."
Dengan rasa yang masih mamai-mamai dan mata yang separuh pejam bak pening-pening lalat saya duduk bila mendengar suara bapa yang telah lama saya rindui.. 

    Bapa yang bekerja sebagai kapten kapal laut, baru balik dari pelayaran yang jauh dan terasa lama kali ini beliau pergi..
Terima Kasih TUHAN kerana menjaganya walau dimana dia berada.

Apabila nampak bapa didepan mata,hati sungguh gembira..gembira yang amat sangat..kerana saya sangat-sangat merinduinya..

Saya dengan mata yg separuh pejam cuba juga membuka mata yang masih berat..

Alangkah terkejutnya saya, dan seperti tak percaya..saya gosok2 mata yang masih kabur2 agar kedua kelopak mata terbuka, agar benarlah hendaknya apa yang saya nampak didepan mata ini...dan mudah-mudahan ini bukanlah mimpi!

=>
=>
=>

Didepan mata ku..sebuah beg pakaian bersaiz sederhana dipenuhi dengan COKLAT!!
Bapa membawa coklat itu! Banyaknya....

Ya ALLAH, Engkau telah perkenan kan doa ini. Doa seorang kanak-kanak...Syukur Tuhan. Terima kasih Tuhan...
panjat Syukur kanak2 ini lagi.
..



Coklat didalam beg, bukannya diatas atap.. Bukan itu cara mudah Allah datangkannya, diberikan kita sesuatu yang kita doakan dengan cara NYA..

Berdoalah..dan jangan cepat putus asa, kerana ALLAH akan memberi sesuatu dengan cara yang kita tidak dapat fikirkan...


Alhamdulillah..    

Wednesday, December 19, 2012

MANGSA DILAUTAN..


Assalamualaikum........

Keluarga kami adalah keluarga biasa....hidup secara sederhana dipinggiran pekan yang sederhana... Labuan...

Ibu berasal dari tanah besar, dijodohkan dengan bapa kerana ada pertalian kekeluargaan... cinta orang dulu-dulu, cinta dirancang orang tua,  cinta selepas berkahwin!
Bagi saya, anak kedua dalam adik-beradik, ibu sangat tegas, mungkin kerana dia seorang yang akan mengatur segala tentang rumahtangganya setelah bapa pergi kerja untuk beberapa lama. segalanya menjadi pundak tanggung jawabnya.
Anak-anak tak boleh bagi muka sangat nanti tak mendengar cakap...dengan ketiadaan bapa, ibulah yang akan mengemudi rumah kami yang sering di "porak-perandakan" oleh anak-anaknya...jadi tak hairanlah ada ketikanya tekanan melanda ibu....Anak-anak yang macam tak "reti bahasa" kadang menggugat kesabaran ibu!. dalam seramai lima orang anaknya ketika itu, ibu tak tahu ada seorang anak ini , walau berumur tujuh tahun  takkan macam adik beradik  lain yang tidak mendengar kalau sekali ditegur... apabila yang lain mula menyepahkan rumah, saya perlahan mengemasnya kembali..

Tapi manalah saya seorang mampu menyaingi sepahan yang adik beradik lain  lakukan diketuai oleh Kakak sulung, yang jarak umur kami hanya setahun... bila dah isi rumah macam diserang garuda, sudah pasti ibu mengamuk setelah dia penat menyelesaikan kerja-kerja didapur..bila dah melihat ruang tamunya macam tongkang pecah apa lagi, dengan rasa geram cubitan pedas dan pedih hinggap ke paha semua anak-anaknya termasuk saya!
Kadang dalam fikiran kanak-kanak saya,  pada ketika itu merasa ibu tak sayangkan saya, perlahan saya menyisihkan diri sedikit dari ibu.. Kenapa ibu tak seperti bapa? kenapa ibu tak pernah menyatakan rasa sayangnya?

Ibu tak pandai menzahirkan perasaannya....namun saya tahu ibu sayangkan saya apabila dia sering mengatakan "seorang ibu, macam mna pun rupanya, macam ikan, macam kucing atau macam harimau, tetap sayangkan anak-anaknya".
Lain sangat cara ibu memberitahu perasaannya...kenapa semua rupa dikaitkan dengan binatang?
kenapa tidak rupa orang yang cantik-cantik, sedap mata membayangkan...
perlahan....akhirnya saya tahu ertinya, macamana pun rupa seorang ibu,  cantik kah, buruk kah, dia tetap ibu kita, yang susah payah melahirkan dan membesarkan kita....
dan....anak-anaknya tetap anak-anaknya, yang tetap akan disayanginya seumur hidupnya...

                       Berbeza dengan bapa, bapa sangat penyayang, suka bercerita,  suka melayan kerenah saya dan suka memenuhi permintaan saya, samaada minta bawa berjalan-jalan atau membelikan apa yang saya mahukan, akan dicubanya sedaya upaya, kalau tak dapat pada ketika itu akan ditunaikannya pada hari yang lain.
Saya percaya pada janji bapa!  Nasib baik saya bukan penggila mainan pada ketika itu.. saya hanya minta bapa belikan buku-buku cerita!
Kalau buku-buku cerita lambat sampai ditangan, bapa aka mendahului dengan cerita-cerita pelayarannya. Saya sangat suka mendengar mengenai tempat-tempat yang pernah disinggahi...
maka bermulalah lagi angan-angan kanak-kanak ini sehingga terbawa-bawa kedalam mimpi..

Kalau bapa berpergian jauh saya jadi sunyi, tiada teman yang memahami, adik beradik pun rasanya macam nak cari gaduh saja....saya rasa sedeh apabila bapa cakap dia nak belayar, perlahan.. tanpa disedarinya airmata saya menitis,  rasa sangat sayu (manjanyaaa..)...

Rumah kami bertambah sunyi, kerana kalau ada bapa rumah ini menjadi tempat mengaji bagi budak2 yang belajar mukadam dan Quraan, dan ada yang belajar sembahyang....saya kadang-kadang menjadi pembantu bapa menolong mereka mengenal bentuk alif ba ta....

Bapa sebenarnya bekerja sebagai juragan (kapten) kapal laut...kalau dah kerja, saya takkan berjumpa dengannya, berminggu atau berbulan lamanya...tugasnya membuatkan bapa dapat  mengunjungi beberapa negara, yang mustahil dapat dikunjungi kalau mengharapkan perbelanjaan sendiri...

Walaupun hanya sebagai pekerja kapal namun dapat juga menjejakkan kaki kenegara yang menjadi angan-angan rakan sekampungnya yang meneruskan kerja-kerja seperti nelayan atau jadi petani. Mereka masih tidak berani untuk melangkah keluar dari kampung yang sudah sebati dijiwa mereka...atau mungkin itu kesukaan mereka.

Berbeza dengan bapa seawal umur dua puluhan sudah berani memecah 'tradsisi' kerja, mencuba sesuatu dari luar kebiasaan anak-anak muda dikampung pada ketika itu. Melangkah keluar dari kampung dan mencuba sesuatu yang baru.

Ianya bermula dengan bekerja sebagai kelasi kapal-kapal dagang atau kapal kargo yang membawa muatan barangan...
Dari kapal kecil kepada kapal besar. Dari kelasi biasa naik kepada Juragan (kapten) kapal. Saya pernah diberi kesempatan untuk memegang stereng kapal besar yang bapa kemudi. Dengan bangganya saya berdiri diatas kerusi (badan pendek umur baru 9 tahun) memusing-musing stereng ditangan, kekiri dan kekanan...

"jangan terlampau kekiri nanti terlanggar kapal lain" kata bapa.
saya masih dengan bangga hanya mengganguk kepada arahan kapten kapal itu...walhal kapal yang saya kemudi itu terikat dipelabuhan!


Sebelum keluar rumah untuk bekerja, bapa akan mendongak kelangit, melihat awan, meramal cuaca dengan caranya.
Pada ketika itu belum ada ramalan cuaca yang disiar dan mudah didapati  seperti sekarang, kita boleh lihat siaran diTV,  dengar radio lebih canggih di handphone kita boleh tengok ramalan umtuk seminggu akan datang!

 Bapa kelihatan sedikit risau kalau cuaca buruk, risau pada kapal laut yang dikendalinya, risau pada ...keselamatn anak-anak kapal dibawahnya ....kerana segalanya dibawah tanggung jawabnya...bila dah dilautan, apa pun yang berlaku keputusan adalah ditangannya....

(puluhan tahun kemudian.....saya juga akan mendongak kelangit sebelum keluar bekerja.... ada sedikit kerisauan andai tanda-tanda hujan ribut akan turun.....keputusan dan tindakan segera juga berada ditangan saya...
Disini, hari ini dapat saya fahami perasaan bapa.....)

Ada rasa kesihan terhadap bapa....tak kira hujan, tak kira panas, apa bila jadual telah tiba maka belayarlah bapa, meninggalkan kami lima beradik ketika itu, bersama ibu.
Bapa berpergian lama dan sangat laamaaa rasanya....

Ada cerita, apabila suatu hari bapa dalam pelayaran, cuaca yang pada mulanya baik, tetapi ditengah lautan cuaca buruk tiba-tiba datang....dengan jarak pengelihatan yang kurang 100 meter....dengan ketidak cukupan alat-alat canggih pada waktu itu, tidak seperti sekarang ini ada radar yang boleh mengesan sebarang pergerakan.... ....apakah yang dapat dilihat pada jarak itu, dan pada waktu malam pula tu..
=>
=>
=>
Ini terjadi sebelum bapa membawa kapal besar, kapal yang dikemudikan ini sederhana saja,  dalam pelayaran menghantar muatan untuk ke Miri dari pelabuhan Labuan. Tiba-tiba diperairan berhampiran Brunei, kapal ini menghadapi ribut dengan hujan dan angin yang kuat...ombak pula agak besar, tidak ingat difikiran kanak-kanak ini berapa ketinggian ombak itu...
Jarak penglihatan pula sangat terbatas dalam jarak 100 meter.... mata biasa takkan nampak apa-apa yang muncul didepan mata....
Amat sukar mengendali kapal yang terumbang ambing dilanda ombak besar sambil cuba meneropong, memerhati persekitaran..dalam pekat malam...
.
Tiba-tiba...
Satu hentaman kuat datang dari tepi sebelah kanan, betul-betul ditengah kapal yang bapa kemudi.....

"ALLAHUAKBAR...."
Bapa menjerit, apabila terlihat sebuah kapal lain melanggar kapal bapa, betul-betul ditengah kapal...dan kapal itu agak besar dari kapal bapa.....
Bayangkan apa yang terjadi.......

Kapal bapa terbelah dua !!

Dalam hujan ribut malam dalam keadaan gelap!
Bapa menjerit kepada kelasi-kelasinya agar menyelamatkan diri.... bapa cuba dan cuba juga untuk menyelamatkan kapalnya tetapi air laut sudah terasa hingga kelututnya, akhirnya keparas pinggang.....sekejap lagi kapal itu pasti tenggelam!
Dia hanya terdengar jeritan kelasinya,
“kapt, selamatkan diri, cepat. Kapal dah nak tenggelam.....”

Apabila segala usaha sudah cuba dibuat, ternyata kapal itu dan isi muatannya tak dapat diselamatkan lagi. Anak-anak kapal pun sudah meninggalkan kapal, atas arahan bapa. Barulah bapa meninggalkan dan dengan sayu melihat kapalnya tenggelam perlahan-lahan..... dari anjung kapal yang melanggarnya tadi....
Mereka yang melanggar tanpa sengaja itulah menyelamatkan mereka!!

Kali ini bapa benar-benar lama tidak balik, macam berbulan juga rasanya....

Peristiwa ini menjadi kes dimahkamah negara jiran kita itu, kerana kapal yang melanggar itu adalah kapal dari negara jiran dan diperairan mereka!
Dia tak dapat balik selagi kes ini tidak selesai.......
Ianya melibatkan dua negara yang bagaikan bersaudara .....bersaudara, saudara juga...muatan yang dibawa perlu diganti.....bapa bukan saja disoal siasat oleh mereka disana.....tetapi juga dari orang-orang dari ibu pejabat syarikat kapal bapa......

Dan ianya tak semudah itu, beberapa perkara perlu diselidik, dikaji dan diteliti secara manual (penggunaan komputer dan alat-alat canggih masih jauh didepan)
Detik-detik perlanggaran dirakamkan dalam lakaran dikertas, semua ini mahu dijadikan bukti dimahkamah jiran itu, siapakah yang bersalah !!



Nun...... di pantaran (serambi) rumah, seorang kanak-kanak dengan linangan airmata berdoa kepada TUHAN, agar bapa diselamatkan walau dimana pun dia berada dan memohon segerakanlah bapa kembali kerumah..... kali ini saya tidak mengharapkan buah tangan dari bapa, dan berjanji tidak akan meminta bapa membeli apa-apa untuk dibawa balik.. apa yang penting, saya ingin berjumpa bapa...telah lama dia pergi kerja, dan telah lama tidak mendengar suaranya!
Ketika itu bukan mudah untuk menghubunginya.....tidak ada telefon awam apatah lagi telefon rumah.....mungkin hanya beberapa ofis saja yang ada kemudahan itu, dan tak semudah itu untuk meminjamnya, kalau dapat pun, nombor apakah mahu didail untuk menghubungi bapa?

Kami hanya menunggu perkhabaran bapa dari syarikatnya dan menunggu kiriman telegram dari bapa.....
Sayu memandang kelaut yang biru terhampar, yang memisahkan kami dengan bapa...kasihan melihat ibu yang juga merindui dan risau keadaan bapa, ditinggalkan dengan anak-anak yang tak tahu berduka, entah cukupkah duit ibu pada ketika itu.....tak dapat saya ingati....

Kakak dan adik beradik yang lain bermain macam biasa, seolah tiada apa yang berlaku....tetapi saya? Pada umur itu saya masih terfikir kenapalah kakak dan adik beradik yang lain sentiasa gembira, boleh gelak ketawa dan bergembira...kalau pun bersedeh hanya sekejap saja, dan selepas tu bermain lagi..
 Mereka hanya kanak-kanak biasa yang dalam fikiran mereka hanya tahu bermain. Lapar dan haus akan merengek kepada ibu dan lepas tu sambung lagi bermain-main...

Sikap saya lah yang ganjil sebenarnya...saya terlalu emosi, terlalu mudah tersentuh hati....dan berfikiran seperti orang dewasa sebelum sampai waktunya!!

Lama setelah itu.................bapa pun balik akhirnya.....
Rasanya dia menang dalam kes itu....dia membawa lakaran kertas kapal yang dilukisnya, lukisan kapal terbelah dua disimpan dan ditunjukkan kpd kami.......hanya saya yang berminat bertanya, bagaimana, kenapa terjadi.....seperti biasa adik beradik yang lain sambung bermain......
Saya memerhati lukisan itu dan terbayang ribut yang melanda..... dan ingatan ini menjengah kembali fikiran saya setelah puluhan tahun, apabila baru-baru ini dipawagam ditayangkan movie “The life of PI”
Dahsyatnya lautan....memisahkan Pi dengan kedua ibubapa dan abangnya..
Menjadikannya sebatang kara....dilautan, berjuang berseorangan untuk hidup!!

Saya, sangat-sangat bersyukur kehadrat Ilahi kerana menyelamatkan bapa sehingga kehari ini, SYUKUR ALHAMDULILLAH !!

Monday, December 10, 2012

PENGENALAN..

Assalamualaikum WBT...

Dengan Nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI AMAT MENYAYANGI

Salawat serta Salam Ke Atas JUNJUNGAN BESAR  NABI MUHAMMAD SAW, keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya....

================================================================


       Saya bukanlah seorang penulis,  yang boleh menzahir tulisan yang indah nan puitis...
saya hanyalah insan biasa, menulis sekadar mengongsikan pengalaman dan perjalanan hidup yang dilalui.....untuk diri sendiri, dan untuk sesiapa yang sudi membacanya....

        Moga disini akan terakam segala kenangan lewat masa kecil dan dihari-hari kehidupan seterusnya......

         TERIMA KASIH Suami Tercinta, kerana dengan izinnya lahirlah blog ini...
 untuk dirinya, untuk anak-anak tersayang.... saya kongsikan kenakalan, kebaikan , kesedihan, keriangan, rajuk tawa, rajuk tak dipujuk pada zaman kanak-kanak saya.....
....juga, akan dirakamkan perjalanan dan cerita hidup pada hari-hari seterusnya.......

....disini bukan segalanya, tapi ada cerita hidup dan liku-likunya......