Sunday, February 24, 2013

TIKAR TERBANG MELAYANG



TIKAR TERBANG MELAYANG



    (Bahagian megimbau zaman kanak-kanak…)

                      
                      Assalamualaikum….Syukur Alhamdulillah kita diizinkan NYA  lagi untuk bernafas dan menghirup percuma udara untuk meneruskan hidup yang dipinjamkan NYA..
  Syukur kepada Mu Ya Allah…memberi segala kenikmatan ini…
              Syukur kerana kita masih diberi kesempatan  mengenang dan berkongsi  cerita dizaman kanak-kanak…untuk dikongsi bersama anak-anak, keluarga tercinta dan sahabat yang sudi membacanya.

Berbeza dimana, dan cara kita dibesarkan, pastilah cerita kita jua berbeza… mungkin biasa-biasa bagi sesetengah orang tapi  bagi saya ianya adalah sesuatu yang sangat  indah untuk dikenang..

Kanak-kanak tetap kanak-kanak, kadang-kadang nakal  kadang-kadang baik, kadang-kadang pemurah  kadang-kadang kedekut, kadang-kadang sayang sangat kat adik beradik, kadang-kadang benci kat mereka…biasalah kanak-kanak, rasa cemburu apabila kakak dipuji , dan rasa  tersisih bila adik bungsu kita disayang melebih-lebih….

Walhal sebenarnya itu hanyalah perasaan kita, ibu bapa memang sayang kepada  semua anak-anaknya, susah senang, makanan banyak atau sedikit,  dibahagi sama rata dan semua sama merasa. Namun dasar kanak-kanak ada saja rasa yang tak puas hati…bergaduh  berbaik, bermain dan bergaduh semula…..akhirnya berbaik kembali..

Ahhhh…  semua  ini adalah asam-garam , rempah  ratus dan warna-warna  perjalanan  hidup seseorang menuju dewasa..yang akhirnya  hanya tinggal kenangan  di kemudian  hari…
 Zaman kanak-kanak itu menjadi lebih indah kerana ibu  bapa menyayangi  kita..menitipkan kita dengan berbagai kenangan..
Kenangan yang manis adalah hadiah yang tak terhingga dari ibu bapa untuk kita kenang walau pun setelah puluhan tahun kemudian….

Ibu bapa yang bertanggung jawab sentiasa cuba untuk memenuhi  keinginan anak-anaknya dengan cara dan kemampuan mereka..
Zaman sekarang ibu bapa membawa anak-anak bercuti keluar negera, dalam negeri atau membawa  mereka sesekali makan diluar kat restoran mahal bagi yang mampu, atau restoran makanan segera yang berlambak di seluruh Negara….tak pun sesekali berkelah ditepian pantai…

Zaman kanak-kanak kami , bapa membawa  “jalan-jalan”  dengan kapal yang dikemudinya…kapal yang  bapa bawa pada ketika itu kapal yang kecil sahaja …
Seronok sangat rasanya pada ketika itu, bapa  membawa kami mengelilingi perairan persekitaran pelabuhan , sambil kami  lima beradik yang dibawa ketika itu, masing-masing diberi kesempatan oleh bapa untuk memegang kemudi kapal.
Fuh! Terasa sangat bangganya  …


                         
       (Lautan biru tenang, bayu berpuput lembut...alangkah damainya.....)


Apabila kami sudah terasa lapar bapa melabuhkan sauh  kapalnya diteluk pelabuhan menghadap pesisir pekan,  kami pun mula mengeluarkan bekal makanan yang dibekalkan ibu…masing-masng ada tugasnya, adik Shah akan membentang tikar, kakak dan saya akan menyediakan dan mengaut makanan lalu meletak diatas tikar yang dibentangkan tadi….
Diatas kapal, dilautan biru yang tenang dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa menikmati makanan dengan bapa dan adik-beradik diruang yang terbuka…alangkah seronoknya!!
Makanan itu walaupun sederhana tetapi sangat sedap bagi saya.. ibu membekalkan kami nasi, ikan goreng dan sambal hati campur kacang panjang…makanan yang sedap, perut yang lapar dalam suasana yang indah…..ini akan tetap saya kenang untuk selamanya..

Selesai makan  macam biasa, kami sama-sama  mengemas pinggan mangkuk yang kami gunakan tadi dan bapa mengarahkan pula adik Shahdan untuk membersihkan tikar yang digunakan sebagai alas masa makan … Setelah dicuci, bapa mengemaskan pula pinggan mangkuk yg sud kedalam raknya dibahagian dapur kapal….

 Setelah selesai didapur bapa keluar dan bertanyakan adik Shah dimana tikar yang sudah dibersihkannya….adik Shah yang mungkin pada ketika itu berumur 8/9 tahun menunjuk  ke air….ternyata tikar yang memang untuk kegunaan alas makan dikapal itu telah ‘terjun’ kelaut..

Adik Shah telah membuangnya, kerana katanya dia memikirkan bapa menyuruhnya membuang.

Bapa ketawa terbahak-bahak, geli benar hatinya melihat tikar yang terapung-apung dilaut dan adik Shah dengan muka selamba seperti tak berbuat apa-apa kesilapan..

Betapa senang hati bapa dapat menghiburkan hati anak-anaknya dengan caranya….selalu dan selalu dari kami kecil hingga masing-masing meniti dewasa peristiwa  tikar dilaut itu dikenangnya…
Tatkala dia masih sihat cerita ini akan diulang-ulangnya, dia rasa lucu dengan telatah anak-anaknya..
Dia terhibur dengan kerenah anak-anaknya...

                                                                     >
                                                                    >

….sudah lima tahun kebelakangan ini  tiada lagi dia mampu mengenang semuanya, tiada lagi cerita zaman perang, tiada lagi cerita tentang Nabi dan Rasul…tiada lagi suara ‘sedap’ mengaji Quran, tiada lagi dia mampu mendengar saya bercerita tentang kerja, tentang hal-hal yang berlaku di persekitaran dan tentang hidup!
Saya sangat merindui ketika kami saling bercerita hal kerja masing-masing….
Seperti  takkan habis apabila bapa bercerita tentang kapal dan lautan..

Namun semua itu tiada kini, bapa banyak menghabiskan masa dipembaringan, pergerakan nya terbatas kerana sakit tua, mulutnya tetap kumat-kamit membaca ayat-ayat suci tapi sudah tidak sampai dipendengaran ku.. matanya merenung tapi sudah kurang berkata-kata, tidak lagi mengenali adik beradik nya dan anak-anaknya yang lain,  tetapi masih tetap mengenali saya!

Saya hanya mampu berdoa agar kesihatan bapa pulih… dan diKuat kan hati dan semangat bapa seperti kekuatan semangat bapa sebelum ini  sejak bergelar Juragan Kapal dilautan…..


No comments:

Post a Comment